GUNA PAKAI ATAU TIDAK BARANGAN DARI EMAS PERLU BAYAR ZAKAT?

Wednesday, December 30, 2020

Assalamualaikum ,


Perkongsian Ty kali ini adalah lebih kepada mereka yang beragama Islam terutamanya yang mana boleh juga dikongsikan dengan sesiapa sahaja yang berminat. Secara asasnya , semua di kalangan kita sedia tahu tentang zakat cuma mungkin masih juga yang tidak berapa pasti atau sedar bahawa bayaran zakat ini tergolong daripada pelbagai jenis seperti :

i)Zakat Fitrah
ii)Zakat Pendapatan
iii)Zakat Perniagaan
iv)Zakat Wang Simpanan
v)Zakat Pelaburan
vi)Zakat KWSP
vii)Zakat Emas & Perak
viii)Zakat Takaful

Dan kali ini Ty lebih nak berkongsi serba sedikit mengenai Zakat Emas.



Seperti semua sedia tahu , Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.


Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli.


Nisab zakat emas adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram). Jumhur fuqaha telah menyandarkan nisab wang kepada nisab emas (85 gram).


DALIL WAJIB ZAKAT


KAEDAH KIRAAN ZAKAT EMAS


EMAS PERHIASAN WANITA
iaitu emas yang digunakan untuk perhiasan badan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan sekali-sekala atau berterusan. Emas perhiasan wanita wajib dizakat apabila jumlah beratnya melebihi ‘uruf (adat kebiasaan). Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa).
Contoh Formula Kiraan:
[(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%]
(900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95

Hukum asal sebarang bentuk pemakaian tidak diwajibkan zakat. Dengan dijadikan emas sebagai barang perhiasan dan kegunaan peribadi, emas berkenaan tidak lagi bersifat subur dan berkembang. Namun barang perhiasan tetap diwajibkan zakat sekiranya pemakaiannya terlalu banyak sehingga berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) dipakai. Apa yang berlebihan dengan adat dan kebiasaan adalah dilarang atau tidak digalakkan oleh syariah. Yusuf al-Qaradawi menyebut perhiasan wanita yang diperbuat selain emas dan perak, seperti mutiara, berlian dan batu berharga dikecualikan zakat, kerana ia dikhaskan untuk kegunaan peribadi dan tidak dianggap sebagai aset yang berkembang.


EMAS BUKAN PERHIASAN
Iaitu emas yang dimiliki bukan untuk tujuan perhiasan sama ada dalam bentuk matawang, jongkong, tempa, barang kemas dan seumpamanya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan wanita. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Tiada wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama?(HR Abu Dawud)
Contoh Formula Kiraan:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah Zakat
100 gram x RM144.38= RM14,438 x 2.5% = RM360.95


Ya , ini mesti ambil tahu ye , wahai kawan - kawan. Samada barangan kemas itu di pakai ataupun tidak , wajib untuk membayar zakat. Jadi , jangan ambil mudah dan sekiranya ada hal yang kurang faham , boleh sahaja berunding dengan pihak berkenaan untuk lebih maklumat terperinci.


EMAS BERCAGAR
Iaitu emas yang digadai adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.


Contoh Formula Kiraan:
[(Berat emas semasa x harga semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5% = Jumlah Zakat
[(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470


PELABURAN EMAS TANPA FIZIKAL TIDAK PATUH SYARIAH
Pelaburan ini menggunakan nilai harga emas semasa sebagai sandaran pelaburan mereka kerana pihak institusi sebenarnya tidak memiliki emas secara fizikal.

Hukum
Hukum pelaburan seumpama ini adalah tidak sah dan haram. Ia termasuk dalam kategori jual beli sesuatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli sesuatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya. Akadnya batil kerana tidak mencukupi syarat termeterai akad dari sudut kelayakan bertransaksi dan subjek yang diakadkan.

Segala keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan ini adalah haram. Jadi ianya tidak wajib dizakatkan. Walau bagaimanapun, modal atau pokok pelaburan adalah harta yang halal. Oleh itu, jika ia melebihi Nisab, maka zakat wajib dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada jumlah modal tersebut.

Manakala dalam keadaan Akad Fasid kerana tidak mencukupi syarat sah / rukun jual beli , tetapi diakhiri dengan berlaku proses qabd (pindah milik), maka diwajibkan zakat ke atasnya kerana status pemilikannya adalah sempurna. Iaitu wajib zakat (atas kedua – dua prinsipal dan keuntungan) untuk transaksi yg akadnya fasid tetapi disertai qabd.


STATUS ZAKAT TERHADAP PELABURAN EMAS TIDAK PATUH SYARIAH

Untuk kawan-kawan yang nak cuba buat pengiraan secara atas talian boleh klik pada gambar di bawah ni ;


Klik Gambarajah Untuk Terus Kira Bayaran


Ini adalah sedikit sebanyak yang Ty dapat kongsikan dengan semua mengenai Zakat Emas , untuk lebih lanjut dan lebih terperinci bolehlah mendapatkan khidmat terus dari Lembaga Zakat Selangor bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan supaya kita menjadi insan yang bertanggungjawab di dunia dan akhirat , Insha-Allah.


Sentiasa Letakkan Zakat Di Hati

3 comments

  1. Betapa pentingnya ambil tahu pasal emas termasuk zakatnya sekali.

    ReplyDelete
  2. Insya Allah lebih berkat harta bila tunaikan kewajipan

    ReplyDelete
  3. oh macam tu pengiraannya.. thanks for the info :)

    ReplyDelete

Thank you for commenting on my words.
May Allah bless me and you , Ameen

© Yanty Lee. Design by FCD.